Thursday, December 11, 2014

Melayu atau pemimpin yang lemah ?



Usaha kerajaan ingin melihat orang Melayu Islam berjaya dalam bidang keusahawanan sangat ketara dengan kewujudan pelbagai kemudahan pinjaman seperti Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Ekonomi Negeri , Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera dan pelbagai lagi. Sehingga kini kita masih tertanya-tanya mengapa sebahagian besar daripada orang Melayu masih lemah dari sudut ekonomi dan masih lagi ketinggalan. terdapat beberapa sebab penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu lemah.

Antaranya ialah orang Melayu lebih cenderung makan gaji daripada berniaga. “Ini disebabkan persekitaran budaya dan sosial orang Melayu melihat berniaga itu sesuatu yang asing. Dan selalunya orang kita sering kaitkan perniagaan dengan rugi dan bankrap. Ia memberi gambaran bahawa berniaga dan rugi itu adalah seiring. Manakala budaya orang Cina pula sangat memandang tinggi mereka yang berniaga. Orang berniaga di anggap lebih matang daripada yang makan gaji. Kerja makan gaji dianggap sebagai pekerjaan sementara dan untuk mendapatkan pengalaman sementara menunggu masa sesuai untuk memulakan perniagaan. Pada masa yang sama kita juga hampir tidak terfikir bahawa orang Cina juga menghadapi kerugian dalam berniaga. Apa yang kita nampak ialah orang Cina berniaga untung, orang Melayu berniaga rugi. 

Persepsi sedemikian perlu diperbetulkan. Untung dan rugi adat orang berniaga tetapi jika bijak merancang saya percaya untungnya lebih banyak daripada rugi. Jika kita selalu memikirkan rugi, maka rugilah yang kita dapat. Saya bercakap bukan dalam konteks di Malaysia sahaja malah melibatkan seluruh dunia. Masyarakat Cina menguasai ekonomi dunia sebanyak 90% manakala orang Yahudi pula menguasai ekonomi melalui pengurusan. Buktinya, kebanyakan di sudut dunia ini akan ada bangsa Cina berniaga dan akan ada bandar mereka yang digelar ‘China Town’. Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa tidak ada satu sektor perniagaan pun di dunia ini dikuasai oleh orang Islam samada pertanian, penternakan, perladangan, perkhidmatan dan seterusnya. Sedangkan umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.9 bilion. Jadi di manakah kedudukan orang Islam dalam bidang Ekonomi sebenarnya? 

Apabila timbul isu boikot dan isu halal dan haram, ia sukar ditangani secara bijak kerana umat Islam boleh di katakan bergantung sepenuhnya kepada produk bangsa asing daripada hal yang kecil hinggalah kepada yang besar. Contohnya dalam soal pemakanan. Walaupun ia kelihatan remeh namun ia memberi impak yang besar dalam pembentukan sikap seseorang kerana apa yang kita makan akan menjadi darah daging. Lalu sampai bila orang Islam akan terus bergantung pada bangsa lain? Bukan tidak ada orang Islam yang berjaya dalam dunia perniagaan tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Apa yang saya dapati, kebanyakkan usahawan-usahawan Melayu 

Islam perlu keluar dari kerangkanya jika ingin maju dan lebih berjaya. Terutama sekali syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan membuka lebih banyak cawangan di luar Malaysia kerana kuasa membeli dalam Malaysia adalah terhad. Suka saya nyatakan di sini bahawa samada kita suka atau tidak, kita harus akui bahawa kita perlu belajar daripada bangsa yang berjaya menguasai ekonomi dengan melihat serta mempraktikan apa yang mereka buat kerana saya percaya hampir semua umat 

Islam tahu bahawa berniaga itu lebih baik daripada makan gaji kerana 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan. Namun pada masa yang sama harus juga diingat bahawa mempelajari ilmu berniaga itu penting sebelum kita terjun ke dalam gelanggang. Tanpa persiapan yang lengkap belum tentu kita dapat bertahan dengan segala cabaran yang mendatang. Dan selebihnya jadikan pengalaman-pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan sebagai pengajaran dalam memperkemaskan lagi strategi dan perancangan perniagaan.

Buat pemimpin Melayu cuba tanamkan kepercayaan tinggi pada anak bangsa . Jangan sesekali melihat Orang Melayu tidak berkebolehan dan lemah. Cuba bagi peranan yang lebih besar kepada orang Melayu khususnya belia dalam memimpin GLC dan mewujudkan lebih ramai ahli perniagaan dalam pelbagai bidang. Jangan menang sorak kampung tergadai seperti Pak Kaduk. Simpton orang lama sekeliling pemimpin membodek kepimpinan akan menyebabkan belia semakin hanyut. Bila terlampau ramai generasi lama dalam memimpin GLC adakah peluang untuk belajar untuk golongan belia belajar secara praktikalnya ? Apakah bentuk rupa ahli perniagaan pada masa akan datang?

Mereka lebih mempercayai orang asing daripada orang Melayu yang hampir 18 juta di Malaysia. Ucapan Hidup Melayu biarlah yang bermartabat  hanyalah ungkapan kosong mengisi halwa telinga Melayu. Ucapan "Hidup Melayu" umpama "Kafankan Melayu" apabila peremajaan secara menyeluruh hanyalah retorik semata-mata. Pesanan saya buat orang lama banyakkan beramal dan mula dekati akhirat di sisa-sisa dan subsidi kehidupan yang ALLAH s.w.t. beri. Jawatan hanyalah sementara dan amanah ini akan di tanya di akhirat nanti. Pemimpin yang jelas terlibat dengan korupsi harus di tolak demi kepentingan Melayu. Jangan bagi ruang lagi pada mereka dan sesiapa yang masih menjunjungnya saya anggap sebagai Si Kitul dan Raja Mandeliar. Ingat demi masa depan Melayu tidak kira siapa dan gahnya nama jika melibatkan maruah Melayu harus di hapuskan !

Jangan hanya menyebut Malaysia tidak amal rasuah dengan indeks rasuah terendah tetapi masih ada nama pemimpin yang mempunyai sejarah penyelewengan Mega tertinggi di simpan. Jangan simpan kudis buta mengelilingi tubuh Melayu dan akhirnya Melayu akan mati.

Melayu atau pemimpin yang bersalah ?




No comments:

Post a Comment